BATU PAHAT 18 Sept — Kerajaan perlu memaklumkan kepada rakyat tentang data dan statistik terkini pegangan ekuiti serta kedudukan ekonomi orang Melayu, kata anggota Majlis Tertinggi Umno Dr Mohd Puad Zarkashi hari ini.
Beliau berkata data dan statistik terkini tentang pencapaian ekonomi orang Melayu itu akan menunjukkan kedudukan orang Melayu masih terkebelakang, sekaligus memerlukan dasar affirmatif seperti sistem kuota dipertahankan.
"Data dan statistik terkini tentang kedudukan ekonomi pelbagai kaum negara ini perlu dimaklumkan kepada rakyat untuk membuktikan bahawa kedudukan orang Melayu di dalam ekonomi dan pelbagai sektor masih ketinggalan berbanding kaum lain.” "Ia (data dan statistik kedudukan ekonomi pelbagai kaum) perlu dikeluarkan kerana banyak pihak mendesak supaya dasar kerajaan seperti sistem kuota ditamatkan,” katanya pada majlis rumah terbuka anjurannya di Dewan Senggarang di sini.
Mohd Puad, yang juga Timbalan Menteri Pelajaran, berkata selain maklumat tentang pegangan ekuiti, kerajaan perlu memaklumkan kepada rakyat data tentang pelbagai bidang ekonomi termasuk peruncitan, pemborongan serta pekerjaaan seperti guaman.
Beliau berkata dasar affirmatif untuk membantu orang Melayu seperti sistem kuota perlu dipertahankan kerana ia memberikan kesaksamaan dan keadilan ekonomi kepada orang Melayu.
"Jangan ada pihak yang mengatakan dasar yang dilaksana oleh kerajaan seperti sistem kuota adalah tidak adil sedangkan mereka mengetahui ramai di kalangan orang Melayu dan Bumiputera Sabah dan Sarawak yang ketinggalan dalam banyak sektor,” kata beliau. Mohd Puad turut ditanya tentang kenyataan Menteri Mentor Singapura Lee Kuan Yew yang mendakwa hubungan kaum di Malaysia akan lebih baik jika Singapura kekal di dalam Malaysia.
Mohd Puad berkata kenyataan Lee itu merupakan suatu provokasi dan menunjukkan pemimpin republik itu telah “hilang ingatan” tentang punca di sebalik keluarnya Singapura daripada Malaysia.
"Dia (Lee) tahu jika Singapura kekal di dalam Malaysia, politik negara ini tidak akan stabil kerana dasar Malaysian Malaysia yang diperjuangkan oleh beliau (Lee),” kata Puad.
Mohd Puad berkata apa yang dicapai oleh Malaysia adalah lebih baik berbanding Singapura terutamanya di dalam soal apa yang dikehendaki oleh rakyat.
Sebagai contoh, katanya Malaysia membenarkan penubuhan sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil sebagaimana dikehendaki kedua-dua masyarakat itu.
Malaysia juga, katanya mempunyai kebebasan berpolitik yang boleh dibanggakan berbanding Singapura.
Ahli dan parti politik di Singapura tidak menikmati kebebasan sebagaimana diperoleh oleh rakan mereka di negara ini, kata Mohd Puad.
Mengenai terdapatnya pemimpim pembangkang terutamanya daripada DAP yang menyambut baik kenyataan Lee itu, Mohd Puad berkata ia tidak memeranjatkan kerana DAP itu lahir daripada parti PAP Singapura.
"DAP turut memperjuangkan konsep Malaysian Malaysia sebagaimana PAP,” kata beliau.
— BERNAMA
No comments:
Post a Comment